top of page

Khasiat Raja Kayu

 

 Gelaran ‘Raja Kayu’ pada sejenis pokok yang hidup di pedalaman hutan-hutan nusantara sememangnya sudah menunjukkan kuasa kehebatan pokok itu. Raja Kayu dianggap mempunyai kuasa mistik yang menggerunkan semua tumbuhan yang lain.

 Pokok Raja Kayu amat sukar ditemui namun untuk mengenal pasti adakah pokok itu Raja Kayu, amat mudah kerana pokok itu hidup menyendiri. Kawasan sekeliling pokok itu akan kelihatan bersih kerana tiada tumbuhan lain yang hidup di sekitarnya.  Ketika pokok Raja Kayu mahu hidup, semua tumbuhan di sekitarnya akan mati. Apabila pokok Raja Kayu sudah sebesar pokok getah, semua pokok-pokok di sekelilingnya akan tunduk padanya. Daun pokok Raja Kayu pula tidak bertulang atau berurat.

 Dikatakan, bukan sebarang orang boleh mengambil pokok Raja Kayu. Kalau kita tidak memiliki ilmu di dada, kita tidak akan dapat menemui jalan pulang. Ada juga yang akan bertembung dengan binatang buas atau diganggu makhluk ghaib.

 Kehebatan Raja Kayu atau nama saintifiknya Cassia Fistula memang sudah terkenal dalam kalangan orang Melayu. Untuk mengetahui adakah itu raja kayu yang tulen, lampu suluh boleh dinyalakan ke arah kepingan raja kayu yang dipotong tebal. Kita pasti terpukau apabila melihat cahaya lampu itu mampu menembusi kepingan raja kayu yang tebal sedangkan uji kaji yang serupa ke atas kayu-kayu lain tidak akan mampu mendapat hasil yang sama.

Ujian kedua boleh dilakukan dengan meletakkan Raja Kayu bersaiz 1 sen ke dalam mangkuk berisi air. Kepingan Raja Kayu itu akan tenggelam seperti batu.

Seterusnya, ujian boleh dilakukan dengan menggosok perlahan serbuk Raja Kayu ke lengan seseorang. Serbuk Raja Kayu itu akan meresap ke dalam kulit orang itu.

Menurut orang tua-tua, Raja kayu adalah raja segala penawar atau ibu segala ubat. Raja kayu dikatakan mujarab menyembuhkan penyakit asma, darah tinggi, gout, kencing manis, lelah, sengal-sengal, melancarkan perjalanan darah, sakit kulit, santau, penangkal ilmu hitam, pendinding, penunduk, pengasih serta penghalau binatang buas dan haiwan berbisa.

 Dipercayai, sesiapa yang dipukul dengan menggunakan Raja Kayu, (manusia atau haiwan) boleh menjadi gila sekiranya tidak diberikan penawar segera.

 Air rebusan teras Raja Kayu Putih dikatakan juga mampu melembutkan hati anak-anak yang degil dan nakal. Penagih alkohol, rokok atau pesakit batuk berdarah juga dikatakan mampu menggunakan air rebusan Raja Kayu Putih sebagai penawar.

 Dahulu, Raja Kayu sering digunakan sebagai hulu keris kerana dikatakan mampu memberi ‘aura panas’pada si pemakainya. Pahlawan Melayu akan mempunyai semangat yang kental dan berapi-api dalam pertarungannya.

 Terdapat dua jenis Raja Kayu iaitu Raja Kayu Merah dan Raja Kayu Putih. Raja Kayu Putih merupakan spesis Raja Kayu yang amat dicari oleh pencinta barangan mistik kerana dipercayai mempunyai kelebihan berbanding Raja Kayu Merah. Raja Kayu Putih dikatakan hanya hidup di hutan pergunungan seperti di Gunung Ledang.

 Banyak orang membeli Raja Kayu Putih untuk dijadikan loket, mata cincin atau disimpan sahaja di dalam dompet. Pemakai atau penyimpan Raja Kayu kononnya akan dilihat sebagai orang yang disegani dan berwibawa kerana kuasa penunduk Raja Kayu. Sekiranya Raja Kayu Putih turut disimpan bersama-sama kayu-kayu lain, mereka menganggap Raja Kayu Putih itu banyak memberi aura dan khasiat kepada kayu-kayu yang lain.

 Pokok Raja Kayu dikatakan hanya lemah pada api. Namun sekiranya Raja Kayu dibakar, ia akan menerbit aroma harum dan lembut.

 Seperti mana telah dicipta garam dengan dianugerahi sifat masin yang dapat digunakan untuk menambah rasa pada makanan, begitulah juga tujuan penciptaan batu, kayu, permata dan lain-lain kejadian. Masing-masing mempunyai manfaat tersendiri.

bottom of page